Ahad, 29 Januari 2012

Keputusan Liga Super 28 Januari

KUALA LUMPUR - Kelantan terus mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super dengan diikuti rapat dua pasukan, Terengganu dan Perak
apabila masing-masing berjaya mengutip tiga mata penuh pada perlawanan malam tadi.

Dengan kemenangan itu, Kelantan kini mengutip 13 mata, berkelebihan satu mata di depan skuad Penyu dan skuad Seladang, yang terikat mata sama serta dibezakan jaringan gol.

Perlawanan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu menyaksikan Kelantan bersemangat mengutip mata penuh apabila membelasah pasukan tercorot liga, Kuala Lumpur 3-0 untuk terus kekal di persada liga.

Bagaimanapun, pasukan The Red Warriors terpaksa menunggu hingga babak kedua untuk merobek gawang Kuala Lumpur menerusi Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-46 hasil hantaran Indra Putra Mahayuddin sebelum disusuli jaringan kedua oleh Mohd Badri Mohd Radzi (min-78) dan jaringan ketiga menerusi pemain import dari Ghana Antwi Dennis Agyre (min-76).

Di Stadium Jalan Besar, Singapura, jaringan tunggal Francis Doe Forkey ke atas Lions XII pada minit ke-77 membolehkan Terengganu membawa pulang tiga mata berharga.

Felda United mengalami kekalahan ketiga daripada lima perlawanan setelah dijinakkan 1-2 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Perak terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi pemain import dari Slovakia, Michal Kubala seawal minit ke-11 sebelum Felda United menyamakan kedudukan menerusi Farderin Kadir pada minit ke-35.

Bagaimanapun, perlawanan yang tampak seimbang sebelum itu berubah pada minit ke-40 apabila pemain tuan rumah, Khairan Ezuan Razali menyumbat gol sendiri.

Kedah yang belum meraih sebarang kemenangan sepanjang lima perlawanan liga setakat ini, terus gagal mencipta kejayaan pertama di depan penyokong sendiri di Stadium Darul Aman, Alor Setar malah dibelasah Johor FC 1-3.

Johor FC nyata garang walaupun bermain di gelanggang lawan apabila tiga gol pelawat dihasilkan Azi Shahril Azmi (min-45), Riduan Ma'on (min-64) dan Muhamad Khaironnisham Sahabudin Hussain (min-70) sementara gol saguhati skuad Kenari hasil jaringan Khyril Muhymeen, sekaligus menjadi gol pertama Kedah setelah sembilan kali gawang mereka dibolosi.

Sementara itu, gergasi Lembah Klang, Selangor kembali komited untuk memberi saingan kepada pendahulu liga yang lain apabila memadamkan ego pasukan T-Team dengan kemenangan 2-1 di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dua gol Selangor masing-masing dijaringkan Ramez Jamal Dayoub (min-38), Azidan Sarudin (min-78) sementara gol saguhati tuan rumah dihasilkan Zairol Anuar Zalani (min-49)

Di Stadium Kuching, Negeri Sembilan sekadar mampu memperoleh satu mata setelah diikat 2-2 oleh Sarawak.

Gol N.Sembilan dijaringkan Ahmad Shakir Md Ali pada minit ke-21 dan Muhammad Shukor Adan (min-81) sementara gol Sarawak dijaringkan Guy Bwele (penalti min-50) dan Zamri Morshidi (min-83). - Bernama

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...